PERATURAN-PERATURAN DAN PERLEMBAGAAN

KELAB KILAT UNIVERSITI TENAGA NASIONAL ATAU RINGKASANNYA KELAB KILAT UNITEN 

PERATURAN 1:      NAMA DAN ALAMAT BERDAFTAR DAN TEMPAT                                          MESYUARAT 

1.             Adapun Kelab ini dikenali dengan nama “KELAB KILAT UNIVERSITI TENAGA NASIONAL ATAU RINGKASANNYA KELAB KILAT UNITEN”.

2.             Tempat mesyuaratnya ialah di Universiti Tenaga Nasional, Km 7, Jalan Kajang-Puchong, 43009 Kajang atau di lain tempat atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari masa ke masa oleh Jawatankuasa Kerja dan pejabatnya yang berdaftar (alamat pos) untuk surat menyurat ialah d/a Universiti Tenaga Nasional, Km 7, Jalan Kajang-Puchong, 43009 Kajang. 

3.             Tempat menjalankan kerja/mesyuarat Kelab tidak boleh diubah dengan tidak dibenarkan oleh Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

 

PERATURAN 2:      LAMBANG 

1.             Lambang Kelab ini adalah seperti berikut:-


 

Lambang Kelab ini ialah satu lencana yang memaparkan nama Kelab iaitu “Kelab Kilat UNITEN” dalam tulisan rumi berwarna hitam dan keterangan selanjutnya ialah:- 

Keterangan:-

(a)           KILAT berwarna merah melambangkan kegiatan-kegiatan sosial, kesukanan dan rekreasi luar.

(b)           KOTAK berwarna kuning melambangkan dinamisma dan ilmu.

(c)           RANGKUMAN kedua-dua sudut berwarna merah dan biru melambangkan pertalian dan kerjasama antara ahli-ahli Kelab dan antara Kelab dan pertubuhan-pertubuhan lain yang sama objektifnya.

 

PERATURAN 3:      MATLAMAT DAN TUJUAN 

Matlamat dan tujuan Kelab ialah:- 

1.             Untuk menggalakkan kemudahan-kemudahan rekreasi, di luar dan di dalam serta menggalakkan kegiatan-kegiatan sosial, kesukanan dan kecerdasan di kalangan ahli-ahli. 

2.             Untuk memupuk tali persaudaraan yang rapat di antara ahli dengan ahli-ahli pertubuhan sosial dan kesukanan berdaftar yang lain.

 

PERATURAN 4:      KEAHLIAN 

1.             Ahli Biasa terdiri daripada pekerja-pekerja Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Tenaga Nasional Berhad (TNB), anak-anak syarikat TNB dan Yayasan Tenaga Nasional. 

2.             Universiti Tenaga Nasional diwakili oleh Yang DiPertua Kelab dan berhak mengundi di mesyuarat-mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat-mesyuarat lain melalui undi pemutus Pengerusi. 

3.             Seseorang Ahli Biasa Kelab apabila bersara dari perkhidmatan Universiti Tenaga Nasional atau TNB atau anak-anak syarikat TNB atau Yayasan Tenaga Nasional boleh terus menjadi ahli tetapi akan dipindahkan ke golongan Ahli Bersekutu. 

4.             Seseorang Ahli Biasa boleh menjadi Ahli Seumur Hidup atas kelulusan Jawatankuasa Kerja Kelab. 

5.             Tiap-tiap permohonan untuk menjadi ahli hendaklah dicadangkan oleh seorang Ahli Biasa dan disokong oleh seorang lagi Ahli Biasa dan nama calun itu hendaklah dikemukakan kepada Setiausaha Kehormat Kelab ini dan beliau akan menyiarkan nama-nama itu di Papan Notis Kelab sekurang-kurangnya 15 hari sebelum tarikh kelulusan.  Permohonan-permohonan untuk menjadi ahli hendaklah dibuat secara bertulis di atas borang yang disediakan seperti di Lampiran “A”, ditandatangani oleh pemohon dan oleh pencadang serta penyokong.  Permohonan menjadi Ahli-Ahli Bersekutu tidak boleh dicadangkan dan disokong oleh Ahli-Ahli Bersekutu yang lain. 

6.             Semua permohonan untuk menjadi ahli perlu mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Kerja. 

7.             Seseorang pemohon yang telah diterima menjadi ahli akan diberitahu oleh Setiausaha Kehormat dan senaskah Peraturan-Peraturan Kelab akan diberikan kepadanya. 

8.             Sekiranya seseorang pemohon gagal mendapat kelulusan, Jawatankuaa Kerja tidak perlu memberi sebarang sebab dalam menolak sebarang permohonan. 

9.             Pemohon-pemohon yang telah gagal mendapat pengelulusan tidak akan layak untuk dimasukkan semula menjadi ahli sehingga genap enam bulan kalender mulai tarikh permohonannya ditolak. 

10.           Seseorang ahli yang telah berhenti kerana sebab-sebab bersendirian boleh dicalunkan untuk kemasukan semula di bawah Peraturan 4(1) hingga (9) di atas. 

11.           Seseorang ahli Kelab yang telah dilucutkan dari menjadi ahli tidak akan layak untuk dicalun atau dimasukkan semula sebagai Ahli Kelab. 

12.           Ahli Bersekutu tidak mempunyai hak mengundi dan tidak boleh memegang jawatan tetapi beliau boleh dilantik di dalam jawatankuasa-jawatankuasa kecil untuk perkara-perkara tertentu.

 

PERATURAN 5:      YURAN 

1.            Bayaran yuran bulanan adalah seperti berikut:- 

(a)        Bagi Ahli Yang Bergaji                                  Yuran Bulanan
             Pokok Sebulan             

RM 999.00 dan ke bawah                               RM 2.00 

RM 1000.00 hingga RM 2999.99                   RM 4.00 

RM 3000.00 ke atas                                        RM 6.00 

Tabung Sukan (Minima)                                 RM 1.00 

(b)          Ahli Seumur Hidup:  Bayaran yuran sebanyak RM 2,000.00 secara sekaligus. 

(c)           Seorang Ahli Stesen Luar kehendaki membayar 50% dari kadar-kadar bayaran yang dinyatakan di atas.  Ahli stesen luar ditakrifkan sebagai ahli yang telah ditukarkan ke suatu tempat kerja yang terletak lebih  dari 100 kilometer dari kampus utama UNITEN. 

(d)           Ahli bersekutu:  Bayaran yuran sebanyak RM84 setahun secara sekaligus. 

2.             Sebagai Ahli Kelab, Universiti Tenaga Nasional akan membayar yuran  terhadap           kumpulan Wang Kegunaan Am dan Kumpulan Wang Sukan seperti apa yang ditetapkan oleh Universiti Tenaga Nasional dari masa ke semasa.

3.             Bayaran yuran tidak akan dikurangkan semasa percutian melainkan jika cuti itu genap satu bulan kalendar dan satu permohonan untuk mengurangkannya dikemukakan secara bertulis kepada Setiausaha Kehormat dalam tempoh 15 hari selepas kembali daripada bercuti. 

4.             Ahli-Ahli yang meninggalkan Malaysia kerana bercuti lebih dari tiga bulan boleh terus menjadi ahli tanpa dikenakan bayaran yuran semasa tempoh pemergian mereka dengan syarat mereka memberitahu Setiausaha Kehormat secara bertulis sebelum mereka bertolak. 

5.             Yuran bulanan hendaklah dibayar kepada Bendahari Kehormat secara tunai sebelum 15 haribulan setiap bulan atau melalui potongan gaji bulanan dengan persetujuan ahli dan kebenaran Ketua Pengarah (Buruh Tenaga Rakyat Malaysia). 

6.             Langkah-langkah akan diambil untuk mendapatkan semua hutang daripada orang   yang mungkir menunaikannya melalui Ketua Jabatan. 

7.             Jika seseorang itu membiarkan yuran bulanannya terhutang selama 2 bulan dan tidak mengambil langkah untuk menjelaskannya, Setiausaha Kehormat akan menghantar surat kepadanya menuntut yuran ini dijelaskan dengan segera. 

8.             Jika seseorang Ahli itu membiarkan yuran bulanannya terhutang berturut-turut selama tiga bulan dan tidak mengambil langkah untuk menjelaskannya, haknya sebagai ahli dalam Kelab Kilat akan tergugur dengan sendirinya dan Setiausaha Kehormat akan membawa kes ini kepada Ahli Jawatankuasa Kerja untuk membuat keputusan. 

 

PERATURAN 6:      BERHENTI DARIPADA MENJADI AHLI 

1.             Sekiranya seseorang ahli ingin berhenti, beliau hendaklah memberitahu Setiausaha Kehormat secara bertulis sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh beliau bercadang untuk berhenti dan hendaklah menjelaskan semua bayaran kepada Kelab.

 

PERATURAN 7:      KEWANGAN DAN AKAUN 

1.             Wang Kelab hanya digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Kelab termasuk belanja pentadbiran. 

2.             Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 500.00 pada sesuatu masa.  Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh jawatankuasa.  Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Kelab. 

3.             Semua cek-cek Kelab hendaklah ditandatangani bersama oleh Yang DiPertua, Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat. 

4.             Tahun kewangan Kelab ini bermula dari 1 haribulan Januari dan berakhir pada 31 haribulan Disember .  Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Juruaudit yang dilantik di bawah Peraturan 20 perlembagaan ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan.  Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Kelab. 

5.             Perbelanjaan yang lebih daripada RM 1,000.00 bagi sesuatu perkara tidak boleh dibayar dengan tidak terlebih dahulu diluluskan oleh Jawatankuasa dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 10,000.00 bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu.  Perbelanjaan yang kurang daripada RM 1,000.00 bagi sesuatu perkara boleh diluluskan oleh Yang DiPertua, Bendahari Kehormat dan Setiausaha Kehormat.

 

PERATURAN 8:      MESYUARAT AGUNG 

1.             Kuasa tertinggi Kelab akan diletak hak dalam mesyuarat agung ahli-ahli

2.             Satu Mesyuarat Agung Tahunan ahli-ahli Kelab akan diadakan sebelum 30 April tiap-tiap tahun.  Urusan mesyuarat agung tahunan adalah:- 

(a)           Untuk menerima Laporan Tahunan mengenai kerja Jawatankuasa Kerja dan Penyata Akaun yang telah diaudit bagi tahun sebelumnya bersama dengan anggaran perbelanjaan dan pendapatan bagi tahun semasa. 

(b)          Untuk melantik pegawai-pegawai Jawatankuasa Kerja dan memilih Juruaudit-Juruaudit Dalam bagi tahun akan datang. 

(c)           Untuk mengurus lain-lain perkara yang mana notis sekurang-kurangnya tujuh (7) hari telah diberi secara bertulis kepada Setiausaha Kehormat. 

3.             Laporan Jawatankuasa Kerja, Penyata, Akaun dan Ajenda tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada setiap ahli Kelab 14 hari sebelum tarikh mesyuarat. 

4.             (a)           Sekurangnya satu suku dari jumlah ahli Kelab (tidak termasuk Ahli-Ahli    Bersekutu) atau dua kali ganda bilangan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja mengikut mana-mana yang lebih kurang, mesti hadir di mesyuarat agung untuk ianya menjadi sah dan menjadi cukup bilang. 

(b)           Sekiranya sesuatu mesyuarat telah diminta dan jika tidak ada cukup bilang selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan, mesyuarat itu akan ditangguhkan ke satu tarikh (tidak melebihi 28 hari) yang akan diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja dan sekiranya di mesyuarat akan datang yang dipanggil kemudiannya untuk membincangkan urusan yang sama sekali lagi tidak ada cukup bilang selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan, maka ahli-ahli yang hadir di Mesyuarat Luarbiasa atau Mesyuarat Agung Tahunan akan menjadi cukup bilang, tetapi mereka tidak akan mempunyai kuasa untuk meminda peraturan-peraturan Kelab atau membuat keputusan-keputusan yang melibatkan keseluruhan ahli. 

5.            Satu notis awal Mesyuarat Agung Tahunan yang menyatakan tarikh, masa dan tempat, serta meminta usul-usul untuk perbincangan, cadangan-cadangan untuk meminda peraturan-peraturan dan perlembagaan dan penamaan-penamaan calun bagi pemilihan Ahli-Ahli Jawatankuasa akan dihantar oleh Setiausaha Kehormat kepada semua ahli tidak lewat dari 21 hari sebelum tarikh mesyuarat yang ditetapkan. 

6.             (a)        Tiap-tiap ahli yang hadir di sesuatu Mesyuarat Agung          Tahunan kecuali Ahli-Ahli Bersekutu, adalah layak mengundi atas tiap-tiap usul.  Pengundian untuk memilih pemegang-pemegang jawatan hendaklah dengan kertas-kertas undi yang akan diedarkan dalam Mesyuarat tersebut 

(b)           Sebarang soalan dalam mesyuarat, selain daripada apa yang diperuntukkan di bawah Peraturan 8(9) hendaklah diputuskan mengikut lebih suara ahli-ahli yang mengundi.  Sekiranya bilangan undi sama banyak, maka Pengerusi berhak memberi undi pemutus. 

(c)            Semua keputusan yang dibuat di mesyuarat Agung Tahunan adalah muktamad dan semua ahli adalah terikat kepadanya. 

7.             Di Mesyuarat Agung Tahunan sesiapa daripada ahli boleh mengemukakan sebarang usul, bantahan atau pindaan berhubung dengan lapuran atau Penyata-Penyata Akaun dengan syarat Setiausaha Kehormat telah menerima notis mengenai usul, bantahan atau pindaan seumpama itu tiga hari genap sebelum tarikh mesyuarat. 

8.             Di Mesyuarat Agung Tahunan sesiapa daripada ahli boleh mencadangkan sebarang perubahan terhadap Peraturan-Peraturan Kelab dengan syarat satu salinan cadangan itu telah diterima oleh Setiausaha Kehormat sekurang-kurangnya sebulan kalendar sebelum tarikh mesyuarat. 

9.             Peraturan-Peraturan Kelab tidak boleh diubah kecuali dengan persetujuan sekurang-kurangnya dua pertiga dari ahli-ahli yang hadir di sesuatu Mesyuarat Agung Tahunan itu.  Perubahan-perubahan itu tidak boleh dikuatkuasakan tanpa mendapat persetujuan Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

 

PERATURAN 9:      MESYUARAT AGUNG LUARBIASA 

1.            Satu Mesyuarat Agung Luarbiasa Kelab boleh diadakan:- 

(a)            Apabila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa Kerja. 

(b)           Atas permintaan bersama secara bertulis oleh tidak kurang dari dua puluh (20) orang ahli (tidak termasuk Ahli-Ahli Bersekutu) yang menyatakan tujuan-tujuan dan sebab-sebab mengadakan mesyuarat ini. 

(c)           Sebarang permintaan seumpama ini hendaklah dihantar kepada Setiausaha Kehormat dan adalah menjadi tugas Jawatankuasa Kerja untuk memanggil mesyuarat dalam tempoh tiga puluh (30) hari selepas penerimaan notis seumpama itu. 

(d)           Sekurangnya dua puluh (20) orang ahli atau satu suku dari jumlah bilangan ahli (tidak termasuk Ahli-Ahli bersekutu) mengikut mana-mana yang lebih kurang, mesti hadir di Mesyuarat Agung Luarbiasa ini untuk ianya menjadi sah dan menjadikan cukup bilangan.  Sekiranya tidak mempunyai cukup bilang selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan maka mesyuarat ini dibatalkan, dan sekurang-kurangnya enam (6) bulan daripada tarikh ini Mesyuarat Agung Luarbiasa atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan. 

(e)           Notis dan ajenda mesyuarat itu akan dihantar kepada semua ahli sekurang-kurangnya 15 hari sebelum tarikh mesyuarat yang ditetapkan.

 

PERATURAN 10:    PENAUNG 

1.             Ketua Pegawai Eksekutif dan lain-lain Pegawai Tenaga Nasional Berhad boleh diundang untuk menjadi Penaung/Penaung-Penaung Kelab ini.

 

PERATURAN 11:    JAWATANKUASA 

1.             Kelab akan ditadbirkan oleh satu Jawatankuasa yang terdiri daripada ahli-ahli yang dinamakan sebagai pegawai-pegawai Kelab seperti berikut:- 

(a)           Seorang Yang DiPertua (Perlantikan kerana jawatan temasuk pemangku jawatan).

(b)           Seorang Timbalan Yang DiPertua (Dilantik oleh Yang DiPertua dengan persetujuan ahli Jawatankuasa).

(c)           Seorang Naib Yang DiPertua.

(d)           Seorang Setiausaha Kehormat.

(e)            Seorang Penolong Setiausaha Kehormat.

(f)            Seorang Bendahari Kehormat (dilantik oleh Yang DiPertua dengan persetujuan ahli jawatankuasa).

(g)           Seorang Penolong Bendahari Kehormat (dilantik oleh Yang DiPertua dengan persetujuan ahli Jawatankuasa).

(h)           Seorang Setiausaha Sukan Kehormat.

(i)            Seorang Penolong Setiausaha Sukan Kehormat.

(j)            Seorang Setiausaha Sosial Kehormat.

(k)           Lima orang ahli-ahli Jawatankuasa Kerja.

(l)            Dua orang Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja Khas (dilantik di atas budibicara Jawatankuasa Kerja. 

2.             Semua ahli-ahli jawatankuasa kerja dan semua pegawai yang menjalankan kewajipan kerja dalam kelab hendaklah seorang warganegara. 

3.             Semua Pegawai-Pegawai Kelab, kecuali Yang DiPertua (dilantik atas nama jawatan), Timbalan Yang DiPertua, Bendahari Kehormat dan Penolong Bendahari Kehormat (dilantik oleh Yang DiPertua dengan persetujuan ahli Jawatankuasa) akan dipilih di Mesyuarat Agung Tahunan sekali dalam dua tahun. 

4.             Penamaan calun-calun untuk memegang jawatan (yang bukannya Ahli-Ahli bersekutu) hendaklah dibuat secara bertulis dan diterima oleh Setiausaha Kehormat dalam tempoh 14 hari genap sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan dan hendaklah disertakan dengan nama-nama pencadang dan penyokong dalam tiap-tiap pencalunan. 

Calun yang berkenaan mestilah menyatakan sendiri kesanggupannya untuk memegang jawatan secara bertulis, sekiranya tidak pencalunan tersebut akan ditolak.

 

PERATURAN 12:    TUGAS-TUGAS JAWATANKUASA KERJA 

1.             Jika seorang ahli jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang mendapat undi yang kedua terbanyak untuk jawatan berkenaan di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dijemput untuk mengisi kekosongan itu.  Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jemputan itu, Jawatankuasa Kelab mempunyai kuasa untuk melantik ahli yang lain mengisi kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.  Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan didalam Jawatankuasa. 

2.             Jawatankuasa Kerja hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tiga (3) bulan.  Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli tujuh (7) hari terlebih dahulu.  Yang DiPertua dengan bersendirian atau tidak kurang daripada empat (4) orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa.  Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan bilang mesyuarat. 

3.             Mesyuarat-Mesyuarat Khas boleh dipanggil oleh Setiausaha Kehormat apabila perlu atau apabila beliau diminta berbuat demikian oleh tiga (3) orang ahli Jawatankuasa Kerja dan jika boleh notis tiga (3) hari hendaklah diberi. 

4.             Di dalam mana-mana Mesyuarat Jawatankuasa Kerja, satu pertiga daripada ahli-ahli tersebut akan menjadikan cukup bilangan. 

5.             Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Kelab dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Kelab mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung.  Jawatankuasa seharusnya tidak mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung.  Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan. 

6.             Jawatankuasa Kerja berkuasa melantik ahli-ahli bagi menubuhkan satu jawatankuasa kecil jika dan apabila perlu. 

7.             Jawatankuasa Kerja berkuasa membuat perbelanjaan lebih dari anggaran yang diluluskan, setakat RM 1,500.00 dalam mana-mana tahun kewangan. 

8.             Jawatankuasa Kerja adalah dianggap kuasa yang tunggal untuk mentafsir dasar-dasar dan peraturan-peraturan Kelab, dan sebarang keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja mengenainya adalah muktamad dan semua ahli adalah terikat kepadanya. 

9.             Sebarang soalan atau perkara yang mungkin timbul atau yang tidak diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan ini akan diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja yang mana dalam semua hal keputusannya itu hendaklah dianggap sebagai muktamad.

 

PERATURAN 13:    TUGAS-TUGAS PEMEGANG JAWATAN 

1.             YANG DIPERTUA: 

(a)           Yang DiPertua akan mempengerusikan semua Mesyuarat Agung dan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan apabila beliau tidak hadir, Timbalan Yang DiPertua akan menjadi Pengerusi.  Beliau akan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat-mesyuarat. 

(b)           Pengerusi hendaklah menandatangani semua minit-minit mesyuarat bila ianya telah diluluskan. 

(c)           Sekiranya Yang DiPertua, Timbalan dan Naib Yang DiPertua tidak hadir dalam mesyuarat jawatankuasa kerja maka mesyuarat ini tidak boleh diadakan, tetapi di dalam Mesyuarat Agung ahli-ahli yang hadir boleh memilih salah seorang dari mereka untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut. 

2.             TIMBALAN YANG DIPERTUA: 

Timbalan Yang DiPertua hendaklah memangku jawatan Yang DiPertua semasa ketiadaannya termasuk mempengerusikan semua mesyuarat. 

3.             NAIB YANG DIPERTUA 

Naib Yang DiPertua hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat ketika ketiadaan Yang DiPertua dan Timbalan Yang DiPertua. 

4.            SETIAUSAHA KEHORMAT 

(a)           Setiausaha Kehormat akan menjalankan kerja-kerja dan urusan Kelab mengikut Peraturan-Peraturan dan Perlembagaan Kelab dan juga mengikut arahan Jawatankuasa Kerja. 

(b)           Beliau adalah bertanggungjawab untuk menguruskan hal-hal surat menyurat dan menyimpan semua buku-buku, surat-surat dan minit-minit mesyuarat. 

(c)           Beliau hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan mengambil minit-minit. 

5.            PENOLONG SETIAUSAHA KEHORMAT 

(a)           Penolong Setiausaha Kehormat akan menolong Setiausaha Kehormat dalam urusan Kelab mengikut Peraturan-Peraturan dan Perlembagaan Kelab dan mengikut arahan Jawatankuasa Kerja. 

(b)           Beliau hendaklah hadir dalam semua mesyuarat dan jika ketiadaan Setiausaha Kehormat beliau akan mengambil minit-minit. 

6.             BENDAHARI KEHORMAT 

(a)           Bendahari Kehormat yang mesti berpengetahuan di dalam peraturan akaun akan menjalankan arahan-arahan Jawatankuasa Kerja dan menjaga kewangan Kelab.  Beliau akan menerima bayaran yuran dan semua wang yang kena dibayar kepada Kelab dan membuat pembayaran yang perlu. 

(b)           Kutipan-kutipan hasil Kelab hendaklah dimasukkan kesemuanya ke dalam bank dengan seberapa segera yang boleh selepas diterima (iaitu biasanya dalam tempoh 48 jam) dan tidak sekali-kali boleh digunakan untuk menjelaskan perbelanjaan. 

(c)           Pembayaran yang melebihi RM 50.00 hendaklah seboleh-bolehnya dibuat dengan cek dan semua pembayaran-pembayaran lain hendaklah dibuat dari Kumpulan Wang Runcit, yang tidak boleh melebihi RM 300.00. 

(d)           Buku-buku Kewangan, baucer-baucer dan buku cek Kelab mestilah disimpan dengan selamatnya oleh Bendahari Kehormat. 

(e)           Setelah tamat Tahun Kewangan Kelab, Bendahari Kehormat hendaklah dengan seberapa segera menyediakan Penyata Kewangan dan kunci kira-kira Kelab bagi tahun yang lalu untuk diperiksa oleh Juruaudit-Juruaudit mengikut Peraturan 24. 

7.             PENOLONG BENDAHARI KEHORMAT: 

(a)           Penolong Bendahari Kehormat akan menolong Bendahari Kehormat dalam urusan kelab mengikut peraturan-peraturan dan perlembagaan kelab dan mengikut arahan Jawatankuasa Kerja. 

(b)           Beliau hendaklah hadir dalam semua mesyuarat dan jika ketiadaan Bendahari Kehormat beliau bertanggungjawab untuk membentang lapuran kewangan pada mesyuarat ahli jawatankuasa. 

8.             SETIAUSAHA SUKAN KEHORMAT: 

(a)           Setiausaha Sukan adalah bertanggungjawab bagi mengurus semua sukan dan beliau akan menyediakan penyata bulanan mengenai kegiatan-kegiatan tiap-tiap bahagian permainan untuk maklumat Jawatankuasa Kerja. 

(b)           Wakil dan Ketua tiap-tiap cawangan sukan akan dilantik oleh satu mesyuarat khas ahli-ahli yang berminat dalam sukan-sukan itu, mesyuarat khas itu hendaklah diadakan oleh Setiausaha Sukan yang menjadi Pengerusinya (Kerana Jawatan). 

(c)            Ahli-ahli tersebut akan menjadi Ahli Jawatankuasa Sukan dengan Setiausaha Sukan sebagai Pengerusinya dan berkuasa memilih masuk tidak lebih daripada dua orang ahli-ahli yang lain. 

(d)           Setiausaha Sukan bersama-sama dengan ahli dipilih yang berkenaan dan Ketua tiap-tiap cawangan sukan akan menjadi ahli-ahli Jawatankuasa Kecil untuk memilih pasukan-pasukan dan membuat persiapan-persiapan bagi sukan yang berkenaan. 

9.             PENOLONG SETIAUSAHA SUKAN KEHORMAT: 

(a)           Penolong Setiausaha Sukan Kehormat akan menolong Setiausaha Sukan Kehormat dalam urusan kelab mengikut peraturan-peraturan dan perlembagaan kelab dan mengikut arahan Jawatankuasa Kerja. 

(b)           Penolong Setiausaha Sukan Kehormat hendaklah memangku jawatan Setiausaha Sukan Kehormat semasa ketiadaannya termasuk mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Sukan. 

10.          SETIAUSAHA SOSIAL KEHORMAT:- 

(a)           Setiausaha Sosial adalah bertanggungjawab terhadap pengelolaan kegiatan-kegiatan kesenian dan sosial kelab. 

(b)           Beliau akan menyediakan penyata bulanan mengenai kegiatan-kegiatan kesenian dan sosial untuk maklumat Jawatankuasa Kerja. 

(c)           Beliau akan menyelia tugas-tugas Pengurus Kelab jika lawatan itu ada, menurut apa yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Kerja.

 

PERATURAN 14:    TATATERTIB AHLI-AHLI 

Sekiranya seseorang ahli dengan perbuatannya di dalam kawasan Kelab, samada di dalam bangunan kelab atau di sekitar kawasan kelab, telah didapati bersalah atau dianggap bersalah kerana berkelakuan buruk yang memudharatkan kepentingan am kelab, kebenaran mengenai perbuatannya itu akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Kerja dan setelah menjalankan siasatan dan menerima penjelasan daripada ahli yang berkenaan, akan membuat pertimbangan dan sekiranya tiga perempat daripada anggota-anggota Jawatankuasa itu berpendapat bahawa ahli tersebut bersalah kerana berkelakuan buruk, Jawatankuasa Kerja akan menentukan samada ianya patut dihentikan daripada menjadi ahli atau dikenakan tindakan tatatertib  yang lain terhadapnya.

 

PERATURAN 15:    KEROSAKAN PADA HARTA BENDA KELAB 

Ahli-ahli akan bertanggungjawab terhadap kerosakan hartabenda Kelab dan akan diminta mengemukakan penjelasan kepada Jawatankuasa Kerja yang akan memutuskan tindakan sesuai yang patut diambil.

 

PERATURAN 16:    TETAMU-TETAMU 

Tiap-tiap ahli akan dibenarkan untuk membawa masuk pelawat-pelawat tertakluk kepada peraturan-peraturan seperti yang akan dibuat dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa Kerja dan setiap pelawat adalah dianggap sebagai tetamu dan akan diiringi oleh ahli yang membawa maksudnya. 

Tidak sesiapa yang boleh dibawa masuk sebagai pelawat ke dalam kelab sekiranya beliau telah dihentikan daripada menjadi ahli atau kelakuan atau adanya beliau di dalam Bangunan Kelab akan dianggap oleh Jawatankuasa Kerja tidak boleh diterima atau memudharatkan kepentingan-kepentingan kelab.  Tetamu-tetamu hendaklah bukan pekerja-pekerja TNB atau kontraktor yang mempunyai minat mengenai kontrak-kontrak dengan Tenaga.  Sesiapa daripada ahli yang membawa masuk tetamu akan bertanggungajwab terhadap kelakuannya.

 

PERATURAN 17:    KAWASAN KELAB 

1.             Kawasan-kawasan dan bangunan-bangunan kelab dan segala kelengkapan yang ada padanya adalah hartabenda Tenaga dan Tenaga berhak menggunakan kawasan-kawasan, bangunan-bangunan serta kelengkapan-kelengkapan tersebut pada bila-bila masa setelah memberi notis yang berpatutan mengenai tujuannya itu kepada Yang DiPertua. 

Tenaga juga berhak melarang penggunaan kawasan-kawasan, bangunan-bangunan dan kelengkapan-kelengkapan itu oleh ahli atau ahli-ahli atau oleh sesiapa sahaja dengan apa cara sekalipun yang dianggap oleh Tenaga memudharatkan kepentingannya. 

2.             Kawasan-kawasan atau bangunan-bangunan Kelab, pada bila-bila masa juapun tidak boleh digunakan untuk mengadakan rapat umum atau penghimpunan yang bercorak politik dan juga tidak boleh digunakan bagi maksud-maksud kesatuan pekerja kecuali dengan kebenaran yang nyata dari Yang DiPertua yang perlu diperolehi tiap-tiap kali tidak kurang dari tujuh (7) hari sebelum ianya diadakan.

 

PERATURAN 18:    LARANGAN 

1.             Permainan-permainan yang berikut tidak dibenarkan dimain di dalam kawasan Kelab:- 

Judi, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngan, Tiew Kow, Chap Jit Kee, Sam Cheong, Dua Puluh satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh Setengah, Semua Permainan Dadu dan Permainan Terup. 

2.             Kelab ini tidak boleh mengadakan sebarang gabungan atau perhubungan di luar Malaysia. 

3.             Pelajar Universiti atau Kolej Universiti tidak dibenarkan menjadi Ahli Kelab melainkan ianya telah mendapat kebenaran secara bertulis daripada Naib Canselor Universiti yang berkenaan. 

4.             Dilarang membawa masuk dan menghisap dadah atau candu di dalam Kelab dan kawasannya.  Perempuan-perempuan pelacur dan orang-orang jahat yang melarikan diri daripada pengadilan di larang masuk ke dalam Kelab dan kawasannya.

 

PERATURAN 19:    KENYATAAN AKHBAR 

Ahli-ahli tidak dibenarkan membuat kenyataan akhbar tanpa mendapat kelulusan terlebih dahulu oleh jawatankuasa Kerja melainkan kenyataan-kenyataan seumpama itu dibuat oleh Yang DiPertua adalah dikecualikan daripada peraturan ini. 

 

PERATURAN 20:    AUDIT 

1.             Seorang ahli atau lebih, yang tidak memegang jawatan Kelab, boleh dilantik oleh Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Juruaudit-Juruaudit Kehormat.  Mereka akan memegang jawatan tersebut selama dua tahun sahaja dan boleh dilantik semula. 

DAN 

Akauntan Tenaga menjadi wakil Tenaga mengaudit akaun-akaun Kelab tiap-tiap tahun. 

2.             Juruaudit-Juruaudit akan dikehendaki mengaudit akaun-akaun Kelab bagi setahun dan menyediakan laporan atau sijil untuk Mesyuarat Agung Tahunan.  Beliau/mereka akan juga dikehendaki oleh Yang DiPertua untuk mengaudit akaun-akaun Kelab bagi sebarang tempoh semasa mereka memegang jawatan pada sebarang tarikh dan membuat laporan kepada Jawatankuasa Kerja.

 

PERATURAN 21:    PEMBUBARAN 

1.             Kelab tidak boleh dibubarkan kecuali dengan persetujuan tidak kurang dari tiga per lima daripada ahli-ahli Kelab dinyatakan dengan sendiri di satu Mesyuaat Agung yang bersidang bagi maksud tersebut. 

2.             Sekiranya Kelab dibubarkan menurut peruntukan yang tersebut di atas, semua hutang-hutang dan tanggungan yang dibuat dengan sahnya bagi pihak Kelab hendaklah dijelaskan sepenuhnya dan baki kumpulan wang dibahagikan sama rata di antara ahli-ahlinya. 

3.             Notis pembubaran akan diberi dalam tempoh 14 hari dari tarikh pembubaran kepada Pendaftar Pertubuhan dengan ditandatangani oleh Jawatankuasa Kerja. 

 

KELAB KILAT
UNIVERSITI TENAGA NASIONAL

                                                                                                                                                  LAMPIRAN “A”

Tarikh: …………………….. 

Setiausaha Kehormat
Kelab Kilat
Universiti Tenaga Nasional
Km 7, Jalan Kajang-Puchong
43009 Kajang 

Tuan, 

PERMOHONAN UNTUK MENJADI AHLI KELAB KILAT 

Dengan ini saya memohon untuk menjadi Ahli Kelab Kilat dan jika permohonan saya ini diterima dan diluluskan saya mengaku akan patuh kepada semua peraturan-peraturan dan undang-undang Kelab.

 

KETERANGAN PEMOHON

 

Nama: ………………………………………………… No. Pekerja: ………………...... 

Pekerjaan: ……………………………  No. Kad Pengenalan: ………………………..

Stesen/Bahagian: ……………………………………………………………................. 

Gaji Bersih Sebulan: ………………………..

 

Dicadang oleh:     ………………………………......             .........................................
                                  (Nama dengan Huruf Besar)                         (Tandatangan) 

Disokong oleh:     ………………………………......           ..........................................
                                  (Nama dengan Huruf Besar)                         (Tandatangan)  

Text Box: UNTUK KEGUNAAN KELAB SAHAJA
Lulus/Tidak Lulus
 
Dalam mesyuarat pada ………………………
 
Yang Di pertua ………………………………

 

 

 


                                                                                                                                                                    Yang Benar,       

 

............................
            (Tandatangan Pemohon)

----------------------------------------------------------------------------------------------------------

KEBENARAN UNTUK MEMOTONG GAJI

Naib Canselor (Pengurusan)
Universiti Tenaga Nasional 

Dengan ini saya ……………………………………………  No. pekerja: …….……  mengaku memberi kebenaran kepada tuan untuk memotong dari gaji saya dan membayar kepada Bendahari Kelab Kilat sehingga ke suatu masa yang akan diberitahu, yuran bulanan sebanyak *RM ……………………. Bil-bil kantin Kelab Kilat dan apa-apa wang yang mesti saya jelaskan pada tiap-tiap bulan.

 

Tarikh: ………………………………                           ……………....................
                                                                                                (Tandatangan)

     * Sila lihat butiran yuran bulanan di belakang borang

           YURAN – Peraturan 5 

1.         Bayaran yuran bulanan adalah seperti berikut:- 

           a) Bagi Ahli yang bergaji pokok sebulan                                 Yuran bulanan 

                RM 999.99 dan ke bawah                                                             RM 2.00

                RM 1000.00 hingga RM 2999.99                                                 RM 4.00

                RM 3000.00 ke atas                                                                       RM 6.00

                Tabung Sukan (Minima)                                                              RM 1.00 

            b) Seseorang Ahli Stesen Luar dikehendaki membayar 50% dari kadar-  kadar bayaran yang dinyatakan di atas.  Ahli Stesen Luas ditakrifkan sebagai ahli yang telah ditukarkan ke suatu tempat kerja yang terletak lebih 100 kilometer dari kampus utama Universiti Tenaga Nasional. 

          c)  Jawatankuasa Kerja akan memutuskan kadar bayaran yuran bagi setiap Ahli Bersekutu berdasarkan kedudukannya.  Yuran bagi seorang Ahli Bersekutu tidak akan kurangd ari akdar bayaran tertinggi untuk Ahli Biasa.